Selasa, 1 Januari 2013

Sekali Lagi Gelombang Dari Kami Anak Muda Sang Saka

Kami anak muda yang bertanggungjawab mengibarkan bendera Rakyat pada malam kemerdekaan dan malam tahun baru menyeru kepada semua pihak membuka mata akan perjuangan kemerdekaan yang sebenar. kami akan terus merungkai sejarah!!!...






Perkara ini membuktikan bahawa kami serius dalam dalam perjuangan kami dengan menerangkan kepada masyarakat akan perjuangan kemerdekaaan yang sebenar. kami memohon semua pihak buka mata akan siapa pejuang kemerdekaan sebenar. pejuang sebenar pastinya mereka yang bertanggungjawab  melawan penjajah. bukan yang bersekongkol dengan penjajah.




Perjuangan PKMM dan PUTERA-AMCJA sangat sinonim akan Bendera Sang Saka Merah Putih atau dikenali juga dengan nama bendera rakyat. Di Tanah Melayu Sang saka Merah Putih telah menjadi lambang kemegahan kerajaan melayu Melaka dengan menjadikan panji itu sebagai simbol kerajaan. Namun selepas kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada 1511, kerajaan kepulauan Indonesia pula menjadikan Sang saka Merah Putih sebagai simbol.

Pada  abad ke-17 kerajaan majapahit telah menggunakan warna merah putih sebagai lambang kerajaan mereka. Selepas lenyap kerajaan Majapahit, kerajaan mataram turut menggunakan motif panji yang sama.
Pada Jun 1947, PKMM telah mengisytiharkan Sang Saka Merah putih sebagai lambang perjuangan mereka seperti dilaporkan majalah kenchana pada tahun tersebut. 

Namun pada  10 Disember tahun yang sama PKMM bersama dalam komponen PUTERA-AMCJA telah mengisytiharkan Bendera Rakyat atau Bendera Sang saka Merah Putih dengan 12 bintang  berwarna kuning sebagai bendera perjuangan mereka.

12 bintang pada bendera tersebut melambangkan 9 negeri Melayu dan 3 negeri selat di Tanah Melayu. Manakala warna kuning pada bintang melambangkan keadilan dan kedaulatan rakyat,  perlembagaan rakyat yang diiktiraf dan membayangkan semua negeri dalam keadaan aman dan makmur.

Bintang berbucu lima pada bendera pula melambangkan ketuhanan, kedaulatan rakyat,  keadilan sosial, kebajikan, dan kebangsaan. Warna merah pada bendera melambangkan keberanian dan kuasa rakyat untuk menentang imperialis penjajahan dan diskriminasi kaum agar tertegak keadilan dan demokrasi di Malaya.
Warna Putih pada bendera pula melambangkan perjuangan yang didasarkan kepada kejujuran dan kesucian untuk mencapai kebebasan dengan cita-cita yang satu iaitu kemerdekaan sendiri dengan berpaksi rakyat.

Setelah mengamati perjuangan  KMM hingga tertubuhnya PUTERA-AMCJA, kami melihat mereka adalah pejuang sejati kemerdekaan. Oleh itu, kami barisan Anak Muda berharap agar semua pihak membuka mata akan sejarah ini dan mengiktiraf perjuangan mereka. Pengibaran Bendera Rakyat pada Malam ini adalah simbol Anak Muda mengiktiraf perjuangan PUTERA-AMCJA dengan berharap pihak bertanggungjawab menilai sendiri akan perjuangan yang jelas menentang kuasa Imperialis dan menuntut kemerdekaan tanah Melayu.